Kisah ni terjadi di kampung aku. Ada seorang janda, Rafidah(mestila bukan nama sebenar). Dia ni dah berbelas tahun menjanda selepas suami dia meninggal dunia. Dia tinggal seorang sebab anak-anak dia semua tinggal di bandar. Dia ni memang jenis suka cakap besar dan suka memperlekehkan orang lain. Dia rasa dia aje yang paling bagus dalam kampung aku tu. bukan niat aku nak buruk-burukkan orang, tapi sebagai pengajaran, lagipun memang betullah perangai dia macam tu. Mak cik aku cakap dia ni ada kena mengena la jugak dengan keluarga ayah aku, tapi aku pun tak tau ye atau tak. Sebab aku pun tak kenal dia sangat.
Mak cik Rafidah ni perangai dia suka menunjuk-nunjuk kekayaan dia. Riak la bak kata orang. Bila keluar ke pekan, barang kemas tu selagi dia boleh sarung, memang dia pakai habis. Orang macam ni memang la orang tak berapa suka kan. Aku pun tak suka walaupun aku tak kenal dia sangat. Rumah dia memang macam rumah orang kaya. Tapi dia ni kedekut. Susah nak tengok dia ni hulurkan bantuan pada orang.
Di kampung aku ni ada seorang penagih,(sebenarnya ramai penagih di kampung tu, makcik aku cakap)Husin(sekali lagi, bukan nama sebenar) biasanya kalau penagih mesti suka pecah masuk rumah orang kan, nak cari duit buat beli benda haram tu. Tapi Husin ni tak macam tu. itu yang aku pelik sikit. Orang tau dia ni penagih, tapi dia ni jenis tak kacau orang. Dia ada kerja. Kerja kampung la. Belum pernah la dengar dia ni kena tangkap sebab pecah masuk rumah orang. Macam-macam jenis orang ada di dunia ni.
Mak cik Rafidah ni memang tak suka la Husin ni, yela orang memang tak suka penagih kan, tapi dia bukan setakat tak suka aje, kan aku cakap tadi, dia rasa dia yang paling bagus di kampung tu. Setakat Husin tu, memang dia pandang rendah la. Satu hari, Mak cik Rafidah ni ke pekan, dia tanya-tanya la orang siapa yang pandai baiki atap sebab atap rumah dia bocor. Si Husin ni terdengar perbualan Mak cik Rafidah ni offer la diri nak betulkan atap rumah dia tu. Mak cik Rafidah ni, bukan setakat tak pandang Husin dan buat-buat tak dengar tawaran Husin tu, dia siap cakap ape korang tau? "AKU TAK NAK LA PENAGIH DOK BETULKAN ATAP RUMAH AKU, JIJIK AKU TAU TAK!"
Apa lagi, merah padam muka Husin ni menahan malu, sebab volume Makcik Rafidah tu boleh tahan la jugak tinggi, waktu tu pulak ada ramai orang di kawasan tu. Tapi waktu tu dia waras lagi, dia tak la serang Makcik Rafidah balik, dia cuma tunduk, dan pergi dari situ. Semua orang dah pandang dia lain macam.
Peristiwa tu tak tamat macam tu aje. Satu malam, Mak cik Rafidah tengah tidur, tiba-tiba dia dengar macam ada orang tengah selongkar almari dia. Dia bangun, bilik tu kan gelap, dia cuma nampak sesusuk tubuh tengah selongkar laci almari dia. Apalagi, menjerit la orang tua tu. Tapi tak sempat dia nak menjerit panjang, Dia terasa perut dia pedih, pisau tajam dirodok ke perut dia. Dia terbaring, tak habis setakat tu, bertubi-tubi pula tikaman ke perut dan dada dia. manusia yang menikam dia tu belum puas, dia buka lampu bilik, dengan sisa-sisa nyawa yang tinggal, Makcik Rafidah terkejut bila si penikam itu tersenyum sinis melihat dia yang nyawa-nyawa ikan. Dia cuma berkata "PADAN MUKA KAU, TAK RETI JAGA MULUT!" dan akhirnya pisau itu dirodok ke dalam mulut Mak cik Rafidah. Dia meninggal di situ juga. Dan penceroboh tadi lari meninggalkan pisau yang digunakan, tetapi membawa bersama barang-barang berharga milik Mak cik Rafidah.
Tiga hari kemudian barulah orang kampung menyedari kematian Makcik Rafidah. Itupun sebab ada orang kampung terhidu bau busuk dari rumah Makcik Rafidah dan mereka tak pernah lihat Mak cik Rafidah keluar. Jenguk punya jenguk, mereka nampak mayat Mak cik Rafidah dalam keadaan ngeri. Laporan polis di buat, Mayat Mak cik Rafidah dibedah siasat, pisau yang ditemui di sisi mayat beliau dijadikan bahan bukti utama, gerakan mencari pembunuh Mak cik Rafidah dimulakan. Orang-orang kampung disoal siasat. Akhirnya polis dapat gambaran suspek utama. Berdasarkan maklumat orang kampung yang melihat kejadian Mak cik Rafidah menghina Husin, polis menggeledah rumah Husin. Dia tiada, tapi barang-barang kemas milik Makcik Rafidah bersepah dalam rumahnya. Akhirnya mereka menemui Husin di pondok dalam kebun getah berhampiran rumahnya. Dia mengaku membunuh Mak cik Rafidah kerana marah dengan kata-kata Mak cik Rafidah terhadapnya. Dia ditangkap dan kini kesnya masih dibicarakan di mahkamah.
Tragik kan kisah ni? itulah, kita hidup di dunia ni, kena sentiasa berhati-hati dengan apa yang kita katakan, takut menyinggung perasaan orang. Lagipun kan tak elok merendah-rendahkan dan menghina orang lain. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kita tak berhak menghina sesiapa. Sebab mereka juga makhluk Allah, macam kita. Lagipun zaman sekarang ni orang makin ganas, silap sikit tikam, terasa sikit pukul, cemburu terus simbah asid, sentiasalah berhati-hati membawa diri.
No comments:
Post a Comment