Tuesday 22 May 2012

Kau cari aku disaat memerlukan #7

Nurin semakin hari makin selesa dengan Muaz. Dan Muaz mula selesa untuk berkongsi apa sahaja dengan Nurin. Begitu juga dengan Nurin. Kerana mereka mempunyai rasa yang sama, selesa untuk berkongsi apa sahaja, kerana Nurin yakin dia boleh mempercayai Muaz untuk memegang rahsianya, begitu juga Muaz. Nurin pun tak tahu kenapa, kadangkala dia akan melakukan perkara yang tak mungkin akan dia lakukan untuk orang lain, tapi dilakukan juga untuk Muaz. Contohnya, Bila Nurin terpaksa berpindah kerana tuan rumahnya ingin berkahwin dan menetap di rumahnya itu, Nurin tidak mencari rumah sewa di kawasan Ampang dan Cheras, berhampiran tempat kerjanya di Pandan Indah tapi dia sanggup mencari sejauh kawasan Gombak. Akhirnya dia dapat rumah sewa di Setapak, dekat juga dengan tempat tinggal Muaz, Selayang. Gila, kan....

Namun, walaubagaimanapun, fitrah manusia, kadangkala mahukan seseorang yang lebih dari sekadar tempat berkongsi rasa dan rahsia. Maka Nurin pun cuba memperkenalkan Muaz dengan adiknya, Zulaika. Zulaika ini mulanya jual mahal, begitu juga Muaz. Tetapi lama kelamaan, mereka makin kerap berhubung di Facebook. Dan setelah Nurin memberikan nombor telefon Muaz pada Zulaika, mereka makin kerap berhubung.

Sampai satu masa Zulaika datang ke Kuala Lumpur untuk bercuti selama seminggu. Muaz nampaknya tidak sabar-sabar untuk bertemu dengannya.

Pertemuan pertama, Zulaika agak kekok, Nurin ada bersama ketika itu, dan dia kelihatan malu-malu. Biasalah, kali pertama. Dan Muaz is being Muaz, cuba bersikap gentleman di depan Zulaika, sesuatu yang tidak dapat dirasakan oleh Nurin ketika bersama Muaz. Nurin cuba memberikan peluang untuk mereka berbual, tapi mungkin kerana kekok, maka Nurin merasakan, dia yang lebih banyak bercakap dengan Muaz, dan Zulaika lebih banyak berdiam diri.

Tidak lama kemudian Muaz mengikuti holiday trip ke Phuket, Thailand. Nurin tidak turut serta kerana tidak dapat mengambil cuti. Rombongan akan berkumpul di Sunway sebelum menaiki bas ke LCCT Sepang. Nurin ingin sekali menghantar Muaz, malangnya tidak punya kenderaan. Tapi kata Muaz, dia akan dihantar oleh kakaknya ke Sunway, tapi katanya Nurin boleh juga menghantarnya, tapi  harus pergi sendiri dan bertemunya di Sunway, sebelum dia menaiki bas rombongan.

Maka ahad itu Nurin pun melakukan hal yang boleh dikatakan agak bodoh, pagi-pagi menaiki Putra LRT ke KL Sentral, sebelum menaiki KTM ke Sunway. Memang agak membuang masa, tapi bagi Nurin berbaloi, asalkan dapat melihat Muaz sebelum dia menaiki bas ke LCCT Sepang. Mungkin dia tidak menyangka Nurin benar-benar datang, tapi ya, Nurin sanggup datang dari Setapak ke Sunway semata-mata untuk mengiring Muaz menaiki bas, kemudian dia pulang. Setelah bas berlepas, Nurin hantar sms pada Muaz :

"Have a nice trip, jangan lupa bwk blek kulit siput ntuk akak, k..."

Muaz membalas :

"thx kak sbb sudi dtg..syg akak.."

Nurin suka bila dia berkelakuan manja begitu. Nampak comel dimata Nurin.

Muaz pergi selama 4 hari. Nurin tahu dia tidak akan dapat menghubunginya disana, maka dia mendiamkan diri sahaja. Tapi pada hari kedua Muaz disana, tiba-tiba Nurin menerima panggilan dari nombor asing, nombor antarabangsa. Dan  rasanya dia tahu dari siapa.

Seperti yang dijangkakan, Muaz yang menelefonnya menggunakan nombor Thailand. Walaupun hanya 3 minit, sekurang-kurangnya dia senang hati kerana Muaz ingat padanya. Dan dia amat menghargainya..

Dan satu malam, lebih kurang jam 11 malam, Muaz menghubungi Nurin lagi, kali ini menggunakan nombornya yang biasa. Nurin tahu malam itu Muaz sepatutnya tiba di Kuala Lumpur. Dia meminta pertolongan Nurin untuk menjemputnya dari Sunway, dia akan tiba di sana pada jam 1 pagi. Nurin berfikir-fikir, bagaimana mahu menjemputnya, kerana dia tidak punyai kereta, dan siapa pula yang mahu disusahkan malam-malam buta begini untuk menjemput Muaz?

Kebetulan kawannya, Rafi ingin berjumpa dengannya kerana sudah lama tidak bertemu atas kesibukan masing-masing. Maka Nurin meminta pertolongannya untuk menjemput Muaz di Sunway. Untung Rafi dan tunangnya, Mimi..

Nurin rasa sangat dihargai bila disaat memerlukan, Muaz mencarinya....


Friday 18 May 2012

Aku senang bila kau gembira #6

Makin hari Nurin dan Muaz makin rapat. Hampir setiap hari mereka meluangkan masa bersama. Berbagai-bagai cerita mereka kongsi. Rupanya sejak mereka berpisah, Muaz bukan lagi Muaz yang Nurin kenal masa zaman sekolah dulu. Benar kata orang, manusia berubah seiring waktu.

Tapi Nurin senang dijadikan tempat Muaz meluahkan perasaan. Dia suka bila Muaz meluahkan sesuatu kepadanya. Itu tandanya Muaz selesa dengannya. Dan dia mahu kekal begitu. Dia tak mahu moment itu berlalu. Nurin sedar Muaz hanya rapat dan mengambil berat denganku kerana Nurin ini rakan niaganya sahaja. Tapi kebanyakan masanya mereka bercerita hal-hal peribadi lebih banyak. Nurin tahu dia ramai kawan, tapi dia tidak ada seseorang yang boleh dijadikan tempat untuk berkongsi keresahan, kegalauan dan kesedihan hatinya. Dan secara tak langsung, Nurin menawarkan dirinya.

Muaz pernah berkata, masa di kolej, dia ada ramai kakak angkat, dan hampir semua kakak angkatnya jatuh hati padanya. Nurin tahu, siapa yang tidak akan jatuh hati pada Muaz? dia baik, sweet, suka menolong orang, dan rupanya juga boleh tahan. Cuma fizikalnya agak kecil. Tapi yang penting hatinya amat baik. Bila dia menolong orang, dia akan tolong sampai habis. Mungkin kerana itu dia menjadi kegilaan gadis-gadis. Tapi Nurin katakan pada Muaz, perasaan kakak-kakak angkat Muaz padanya dan perasaan Nurin pada Muaz berbeza. Pada mereka hubungan adik-kakak itu hanyalah samaran dan isyarat untuk mereka tidak melepaskan Muaz ke tangan orang lain. Sedangkan bagi Nurin, hubungan adik-kakak itu tidak ada maksud lain. Nurin kakak, dan Muaz adik. Jadi tak mungkin akan berlaku apa-apa padamereka. Muaz hanya tersenyum mendengar kata-kata Nurin

Tapi, sejak Muaz  hadir dalam hidupnya, hidupnya yang dulu hambar, kini sedikit berseri. Setiap masa mereka bersama, akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Nurin untuk menceriakan dan menggembirakan Muaz. Orang pernah kata, hati-hati melayan Muaz, takut diri sendiri terluka nanti. Tapi Nurin keraskan hati, berkali-kali ingatkan dirinya sendiri bahawa dia tak mungkin akan jatuh hati pada Muaz, kerana perbezaan umur mereka terlalu jauh. "Lagipun tak mungkin dia akan jatuh hati padaku." Fikir Nurin. Itu memang mustahil. Atas alasan itu, Nurin terus seronok melayan Muasz, walaupun dia tahu, Muaz hanya akan menghubunginya untuk bertanyakan perkembangan perniagaan mereka.

Kadangkala sebenarnya timbul juga kerisauan di hati Nurin, takut hatinya berubah suka pada Muaz. Maka dia rasa perlu hati-hati. Satu hari, Nurin menemani Muaz membeli beg di KLCC. Mulanya Muaz mahu pergi dengan kawannya, tapi kawannya ada urusan lain, jadi dia mencari Nurin jadi penggantinya, menemani dia tawaf KLCC tu untuk mendapatkan beg yang diinginkan. Dari satu kedai ke satu kedai, mereka masuk, dia mencuba beg yang ada, tapi ada sahaja yang tidak kena. Tapi Nurin layankan juga, walaupun kakinya sudah lenguh mengikut dia kesana kemari. Siapa kata perempuan sahaja yang mampu tawaf shopping mall?? lelaki pun ada tau.

Selepas hampir 20 minit, mereka masuk ke kedai Calvin Klein. Ada dua design beg terbaru. Muaz meminta pendapat Nurin. Setelah hampir setengah jam mencuba kedua-dua beg itu, dan bersoal jawab dengan promoter disitu, menggayakan beg-beg itu, akhirnya Muaz membeli salah satu beg itu. Boleh tahan harganya. RM 900. Tapi dia puas hati, kerana designnya yang simple, tapi kulit. Nurin senang hati lihat Muaz memilih beg itu dengan mengambil kira pandangannya. "My opinion does matter." bisik hatinya.






Setelah itu mereka ke Kinokuniya, mencari buku. Nurin ingin membeli buku Chicken Soup for the soul. Manakala Muaz sibuk mencari buku tentang kucing. Ya, kerana kan tak lama lagi dia mahu memelihara kucing, jadi dia mahu tahu segalanya tentang kucing. Nurin sebenarnya sudah penat merayau dari tadi, tapi kerana melihat Muaz betul-betul ingin mencari buku itu, maka dia turutkan sahaja, dan dia berikan juga pandangannya, siapa tahu diambil kira lagi. Setelah hampir sejam mereka disana, barulah mereka keluar meninggalkan KLCC dengan rasa puas hati. Muaz puas hati kerana dapat beg dan buku yang dicari. Nurin puas hati melihat Muaz gembira. Itu sudah cukup baginya.


Tuesday 15 May 2012

Sehati Sejiwa #5

Kadangkala Muaz mengeluh, ingatan tentang Fiza itu kembali menerjah fikirannya. Dia menceritakan pada Nurin  betapa Fiza itu seorang yang sangat sweet, manja, dan baik, tapi kadangkala sikapnya yang mengada-ngada itu merimaskan. Nurin pernah bertanya, tidakkah dia mahu memberikan peluang kedua kepada Fiza? Dia hanya mengatakan "enough is enough la kak. Bukan setakat peluang kedua, dah berkali-kali saya bagi dia peluang, tapi dia tetap ulang kesalahan yang sama." Ujarnya. Nurin memahami perasaannya, kerana dia juga pernah mengalami situasi yang sama. Kita boleh berikan peluang, tapi bila peluang itu disia-siakan, maka kita pun akan jadi bosan.

"Akak carikanlah calon untuk saya." Katanya. Nurin bertanyakan ciri-ciri gadis idamannya.

Muaz mahukan gadis yang sukakan aktiviti lasak, kerana dia sukakan aktiviti seperti hiking, trekking, climbing dan sebagainya.

Dia suka memancing, jadi dia mahukan gadis yang tak semestinya minat memancing, tetapi boleh terima hobi memancingnya itu.

Dia sukakan kucing, jadi dia mahu gadis pilihannya seorang pencinta kucing seperti beliau. Maka gadis-gadis yang takutkan kucing, yang ada asma atau alahan pada bulu kucing, memang tiada harapanlah.

Dia mahukan gadis yang bila berbual dan bercerita, akan membuatkan mindanya terbuka, tidak hanya sekadar bercerita hal-hal mengarut, bukan tidak boleh berbual kosong, tapi hanya sekadar selitan itu tidak mengapa.

Dia mahu gadis yang independent, tidak terlalu bergantung pada dirinya, dan punyai minat sendiri, tidak asyik mahu berkepit dengannya 24 jam.

Dia mahukan gadis yang boleh dijadikan tempat beliau meluahkan perasaan, berkongsi masalah, dan membolehkan dia rasa selesa dan terbuka untuk menerima apa sahaja.

Dia mahu gadis yang boleh menerima dirinya seadanya, tidak mengharap yang lebih atau bukan-bukan dari dirinya.

Mengejutkan bagi Nurin kerana ciri-ciri gadis pilihan Muaz sama seperti ciri-ciri lelaki pilihannya. Sangat sama.

Nurin sukakan aktiviti lasak. Hiking, climbing, trekking, apa sahaja aktiviti fizikal, maka Nurin mencari seseorang yang minat aktiviti lasak, supaya dia dapat teruskan minatnya walaupun sudah ada pasangan.

Nurin minat memancing, walaupun agak takut untuk memegang ikan hidup, tapi dia minat memancing sejak kecil. Lagipun bagi Nurin memancing mengajar erti kesabaran, sebab itu dia mencari lelaki yang suka memancing, ertinya lelaki itu penyabar.

Nurin memang pencinta kucing. Maka dia mencari lelaki yang juga pencinta kucing, supaya mereka boleh kongsi minat yang sama. Nurin pantang melihat kucing, memang dia geram melihat kecomelannya.

Dan Nurin mahukan lelaki yang bila dia bersembang dengannya, dia akan membuatkan mindanya terbuka. Tak kisahlah apa topik sekalipun. Kerana Nurin berfikiran terbuka, dan dia akui, kelebihannya ialah, dia boleh berbual dengan sesiapapun mengenai apa juga topik, dunia hiburan, ekonomi, sosial, politik, isu-isu semasa dunia, malahan isu bola sepak sekalipun. Jadi dia tidak mahulah lelaki yang hanya suka bercerita kosong sahaja, tak berkembang mindanya nanti.

Sama kan????


Friday 11 May 2012

Kucing dan cendol #4

Sebulan kemudian

Satu hari dalam bulan Febuari, Muaz mengajak Nurin keluar minum bersama kawan-kawannya. Seronok juga Nurin apabila dipelawa 'masuk' ke dalam kehidupan Muaz. Mereka bertukar-tukar cerita lagi soal kehidupan mereka selama tidak bertemu. Segala-galanya termasuklah kisah Fiza, yang kini kata Muaz sudah menjadi masa silamnya. Katanya, dia bukan tidak sayang pada hubungan mereka, tetapi dia sudah penat melayan kerenah Fiza yang tidak henti-henti mengulang kesilapan yang sama sepanjang 2 tahun hubungan mereka. Dan dia ada menulisnya di blog miliknya. Tapi sekarang dia sudah menutup blog tersebut kerana katanya tidak ada apa lagi yang harus diperkatakan.

Mereka seronok berbual dan rupanya, mereka ada banyak persamaan, terutama dari segi minat. Mereka sama-sama pencinta kucing, sama-sama sukakan aktiviti luar seperti hiking dan trekking. Mereka juga suka berkaraoke dan meminati genre filem yang sama. Sedikit sebanyak Nurin tertarik dengan cara dan tutur kata Muaz yang menampakkan dia lebih matang dari usianya.

Sejak itu, mereka banyak menghabiskan masa bersama, selalu berkaraoke bersama. Satu hari Muaz menyatakan hasrat untuk memelihara kucing, dan bertanya kalau Nurin tahu dimana mahu mendapat anak kucing. Nurin mencadangkan supaya dia pergi SPCA. Maka pada hari sabtu bersama-sama mereka pergi ke sana, sampai tersesat-sesat. Menempuh kesesakan lalu lintas lagi. Sampai sahaja di SPCA, malangnya telah tutup. Jadi mereka hanya dapat memerhati dari luar. Setelah hampir 15 minit berdiri di luar SPCA, mereka beredar. Tiba-tiba Muaz mengadu teringin makan cendol. Nurin mengajaknya ke Pandan Indah, sekalian boleh terus survey barangan untuk kucing yang bakal dipelihara di pet shop di sana.

Di sana Muaz amat teruja dengan segala kelengkapan yang ingin di beli untuk kucing yang bakal dipelihara. Pasir kumbahan, makanan, tempat letak makanan, litter box, mainan pun turut menjadi perhatiannya. Setelah menyenaraikan segala keperluan dan kosnya, mereka beredar dari situ. Seperti yang dijanjikan, mereka singgah membeli cendol dan rojak di sebuah gerai berhampiran, dan makan di dalam kereta. Moment itu sangat berharga dan manis bagi Nurin.....



Wednesday 9 May 2012

Si dada besi #3

Sekitar bulan Januari tahun ini, Ketika itu Nurin sedang melayari Facebook, dan dia ternampak post Muaz di homepagenya. Dia kini di IJN, sedang menunggu hari untuk dibedah. Nurin terkejut. "Dia sakit ke? sakit ape?"  Profile picture juga diubah. Nurin bertambah hairan. Hari Jumaat, Nurin terus sms Muaz, menyatakan bahawa dia mahu melawatnya pada hari esok. Dan Muaz mengalu-alukan kedatangan Nurin.

Esoknya, Sabtu tengahari, Nurin ke IJN untuk melawat, dan Nurin sempat membeli buah tangan untuk Muaz. Sampai di IJN, Nurin terus menyemak keberadaan Muaz dengan pegawai yang bertugas di kaunter. 'Wad Mawar'. Itu info yang Nurin dapat dari  abang kaunter. Sampai di Wad Mawar, Nurin terus bertanyakan nurse yang bertugas di situ. Malangnya, Nurin terlewat. Kata mereka, Muaz telah dibawa masuk setengah jam yang lalu ke dewan pembedahan. Kakak nurse nasihatkan dia datang esok sahaja. Maka Nurin pulang dengan rasa hampa. Dia terus sms Muaz ketika itu juga, mengatakan dia ada datang tapi Muaz sudah masuk ke dewan pembedahan. Malam itu baru Nurin terima sms dari Muaz. Dia baru sedar selepas pembedahan dan masih perlukan rehat, maka Nurin mengatakan akan datang melawat beliau esoknya.

Ahad, kebetulan Nurin ada majlis reunion makan tengahari di Istana Bambu. Petang itu dalam pukul 3, dia meminta seorang temannya, Rafi menghantarnya ke IJN. Sampai di Wad Mawar, Nurin mencari Muaz, dan ternyata dia amat terkejut dengan kehadiran Nurin. Ada seorang perempuan menemaninya ketika itu. Dia memperkenalkan perempuan itu kepada Nurin. Fiza, teman wanitanya. Nurin tersenyum menyambut salamnya. Manis dan lemah lembut orangnya. Cantik, sepadan dengan Muaz.

Panjang lebar mereka berbual. Sesekali Fiza mencelah. Rupanya dalam dada Muaz telah dipasang besi dibahagian tulang rusuknya tiga tahun lalu, dan semalam ialah hari untuk mengeluarkan besi tersebut, konsepnya sama seperti pendakap gigi katanya. Tiga tahun lalu dia mengalami masalah sesak nafas, dan selepas dirujuk ke pakar, tulang rusuknya membengkok ke dalam menekan jantungnya seiring tumbesarannya. Jadi sebelum tulang rusuk itu menembusi jantungnya, doktor memutuskan untuk memasang besi penyokong pada tulang rusuknya bagi menghalang tulang rusuk itu terus membengkok ke dalam. Bunyinya sangat rumit, kan. Ya, dan Muaz sempat menunjukkan petikan buletin utama 3 tahun lepas, semasa TV3 membuat liputan tentang kesnya. Dan kes seperti Muaz ini hanya terjadi kepada 1 dalam sejuta orang di dunia ini. Dia juga menunjukkan parut bekas pembedahan di dadanya, tempat besi itu dikeluarkan. Nurin kagum sebenarnya kerana ini kali pertama dia melihat hal sebegini.



Tidak lama kemudian, beberapa orang rakan kolej Muaz sampai. Nurin pun meminta diri untuk pulang. Dia mahu Nurin berada lagi di situ, tapi Nurin tidak mahu mengganggu Muaz dan kawan-kawannya, lagipun Rafi telah memberi isyarat dia mahu pulang. Isnin Nurin melihat blog Muaz, dan dia buat entry mengenai dada besinya. Dan dia mengucapkan terima kasih pada Nurin kerana datang melawatnya dan dia sangat menghargai kedatangan Nurin. Nurintersenyum-senyum sendiri membaca blognya.



Tuesday 8 May 2012

Sembang sampai pagi #2

Satu malam, dek kerana kebosanan, Nurin keluar ke cyber cafe yang terletak di kawasan bawah flat tempat tinggalnya. Dia buka facebook, kebetulan Muaz sedang online, mereka berbual. Sembang punya sembang, Muaz bertanya tempat tinggal Nurin. Setelah menjawab, tiba-tiba Muaz menghubungi Nurin, mahu datang katanya, berbual dengan Nurin. Nurin terperanjat. Waktu itu jam menunjukkan pukul 3.30 pagi.

Nurin tidak kisah berjaga kerana esoknya sabtu dan dia tidak bekerja. Akhirnya dalam pukul 4 pagi Muaz sampai juga di kawasan rumah Nurin di Cheras. Dia memandu dari rumahnya di Selayang hingga ke Cheras semata-mata untuk bersembang dengan Nurin. Mungkin kerana kebosanan tahap maksima, fikir Nurin. Dan mereka berbual di hadapan kedai mamak di kawasan itu. Panjang lebar mereka bertukar-tukar cerita, bertemankan Nestle Bliss, minuman kegemaran, kata Muaz. Mereka seronok dan leka berbual. Nurin bertanya adakah Muaz sudah berpunya atau belum, katanya belum. Dan Muaz meminta Nurin mengesyorkan beberapa calon untuknya. "Akak tolonglah carikan calon untuk saya.." Ujarnya sambil tersenyum. Mereka berbual sehingga jam 7 pagi. Apabila hari beransur siang Muaz meminta diri untuk pulang. Dan mereka berpisah di situ. Tetapi selepas itu mereka lebih kerap berhubung di facebook, dan kadangkala sms.

Selepas itu, mereka tidak bertemu buat beberapa bulan, sekali lagi kerana kesibukan masing-masing. Muaz dengan aktivitinya sebagai seorang student, dan Nurin sibuk dengan kerja, Namun sesekali mereka masih lagi berhubung.


Kawan sekolah #1


Ini kisah dua insan, Muaz dan Nurin.

Nurin dan Muaz kenal  sejak dari sekolah menengah. Muaz muda dari Nurin, dan sememangnya dia memanggil Nurin "akak". Muaz  ketika itu di mata Nurin mempunyai peribadi yang......boleh tahan bagi seorang pelajar, seorang pengawas, one of the best student,  aktif bersukan, sentiasa bersongkok (well of course, songkok itu tidak melambangkan adakah beliau rajin solat. Haha....)

Selepas PMR, Muaz dapat tawaran ke sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur. (Top student, kan...) Dia memberitahu Nurin. Masa tu, handphone belum jadi keperluan utama bagi pelajar sekolah, facebook pun tak kenal lagi, apatah lagi twitter. Hari terakhir Muaz di sekolah itu, mereka bertukar-tukar alamat email dan nombor telefon rumah. Tapi Nurin tidak pernah menghubungi Muaz atau mengirim email kepadanya. Muaz juga begitu. Penghujung tahun 2005 mereka berpisah.

Masa berlalu. Nurin tidak pernah mendengar apa-apa berita dari Muaz. Sibuk menguruskan kehidupannya, seperti orang lain, kerja, urusan peribadi, dan sebagainya. Satu hari ketika sedang berfacebook, itu sekitar tahun 2010, Nurin masih dalam misi menjejak kembali sahabat lama di zaman sekolah. Tiba-tiba hatinya tergerak untuk menjejaki Muaz.

Jumpa! maka Nurin terus add Muaz, kebetulan Muaz juga sedang online ketika itu, terus approve request Nurin. Apa lagi, inilah masanya untuk jejak kasih...hehehe....mereka chat, bertanya khabar, bertukar-tukar cerita, sambil itu, Nurin teliti profile Muaz. Hmmm....student UNITEN, Mechanical Engineering. Sangat aktif dengan aktiviti luar. Memang dia begitu sejak zaman sekolah. Mereka bertukar-tukar nombor.

Kesibukan dengan tanggungjawab masing-masing menyebabkan mereka jarang dapat berhubung. Sesekali bila ada kelapangan Nurin kirimkan sms kepada Muaz. Tetapi jarang dapat bersembang panjang. Nurin pun tidak kisah sangat, kerana kehidupan peribadinya lebih memerlukan perhatiannya, mungkin Muaz juga begitu.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...