Friday 11 May 2012

Kucing dan cendol #4

Sebulan kemudian

Satu hari dalam bulan Febuari, Muaz mengajak Nurin keluar minum bersama kawan-kawannya. Seronok juga Nurin apabila dipelawa 'masuk' ke dalam kehidupan Muaz. Mereka bertukar-tukar cerita lagi soal kehidupan mereka selama tidak bertemu. Segala-galanya termasuklah kisah Fiza, yang kini kata Muaz sudah menjadi masa silamnya. Katanya, dia bukan tidak sayang pada hubungan mereka, tetapi dia sudah penat melayan kerenah Fiza yang tidak henti-henti mengulang kesilapan yang sama sepanjang 2 tahun hubungan mereka. Dan dia ada menulisnya di blog miliknya. Tapi sekarang dia sudah menutup blog tersebut kerana katanya tidak ada apa lagi yang harus diperkatakan.

Mereka seronok berbual dan rupanya, mereka ada banyak persamaan, terutama dari segi minat. Mereka sama-sama pencinta kucing, sama-sama sukakan aktiviti luar seperti hiking dan trekking. Mereka juga suka berkaraoke dan meminati genre filem yang sama. Sedikit sebanyak Nurin tertarik dengan cara dan tutur kata Muaz yang menampakkan dia lebih matang dari usianya.

Sejak itu, mereka banyak menghabiskan masa bersama, selalu berkaraoke bersama. Satu hari Muaz menyatakan hasrat untuk memelihara kucing, dan bertanya kalau Nurin tahu dimana mahu mendapat anak kucing. Nurin mencadangkan supaya dia pergi SPCA. Maka pada hari sabtu bersama-sama mereka pergi ke sana, sampai tersesat-sesat. Menempuh kesesakan lalu lintas lagi. Sampai sahaja di SPCA, malangnya telah tutup. Jadi mereka hanya dapat memerhati dari luar. Setelah hampir 15 minit berdiri di luar SPCA, mereka beredar. Tiba-tiba Muaz mengadu teringin makan cendol. Nurin mengajaknya ke Pandan Indah, sekalian boleh terus survey barangan untuk kucing yang bakal dipelihara di pet shop di sana.

Di sana Muaz amat teruja dengan segala kelengkapan yang ingin di beli untuk kucing yang bakal dipelihara. Pasir kumbahan, makanan, tempat letak makanan, litter box, mainan pun turut menjadi perhatiannya. Setelah menyenaraikan segala keperluan dan kosnya, mereka beredar dari situ. Seperti yang dijanjikan, mereka singgah membeli cendol dan rojak di sebuah gerai berhampiran, dan makan di dalam kereta. Moment itu sangat berharga dan manis bagi Nurin.....



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...