Thursday 17 April 2014

Bicara hati untuk teman

Aku masih ingat saat pertama yang membawa perkenalan kita,
Kau hulurkan salam perkenalan, dalam nakal mengusikku,
Nombor telefon bertukar tangan,
Maka bermulalah ikatan suci bernama persahabatan.

Masamu sentiasa lapang untukku,
Kata mereka kau ini pendiam,
Namun denganku petah sahaja bicaramu,
Kau riangkan hati yang sedih,
Kau relakan dirimu jadi sandaranku,
Saat aku rasa sepi, saat aku perlukan teman.

Bicaramu tak pernah yang buruk tentangku,
Lemah lembut tuturmu,
Tak pernah sekalipun yang kasar itu meluncur dari bibirmu,
Mahupun tingkahmu.

Jujurnya kamu,
Buat aku sangat menyayangi persahabatan kita.

Tingginya pekerti kamu,
Buat aku menghormatimu.

Tidak hanya kau bawa aku masuk ke dalam dirimu, hatimu,
Kau bawa aku masuk ke dalam duniamu,
Siapa kesayangan kamu, siapa keutamaan kamu,
Keluargamu,
Merekalah cinta hati kamu.

Dan memang ternyata
Kau tidak berpura-pura dihadapanku,
mempamerkan kebaikanmu,
kerana itu memang fitrahmu,
Kerana itu juga mereka juga menyanjungmu.

Namun,
Masa berlalu, kita terpisah,
Semakin lama, semakin jauh.
Walaupun jarak antara kita tidaklah sesaujana mata memandang,
Namun aku alpa.

Aku alpa dengan kamu,
Aku alpa dengan duniawi,
Aku leka dengan dugaan yang dihadirkan untuk aku,
menghanyutkan aku, jauh dari kamu.

Takdir menemukan kita semula,
Aku jauh berubah, bukan seperti dulu,
Tidak lagi si polos yang naif,
Yang sentiasa perlukan kamu.

Kau dan aku,
Terus membawa haluan masing-masing,
Keinginan bertemu,
Hanya dalam hati sahaja terpendam,
Tiada benar-benar diusahakan.

Aku tahu, kau senantiasa setia menantikan kehadiranku,
Walau engkau sendiri tak pasti,
Bila adanya waktu aku untuk kamu.

Akhirnya,
Takdir Allah benar-benar memisahkan kita,
Kau kini pergi selamanya.
Kita kini di dua alam yang berbeza.

Hajat bertemu hanya tinggal hajat,
Yang tak mungkin kesampaian,

Sesalanku,
Pun takkan mampu mengembalikanmu,
Hanya air mata meluncur laju,
Setiap saat aku terkenang kamu.

Saat ini aku benar-benar merasai,
Apa itu kehilangan,
Hanya pusaramu sahaja,
yang menanti kehadiranku.

Memori kita,
Takkan pernah terluput dari ingatan,
Wajahmu, senyummu,
Bicaramu dan tingkahmu,
Akan sentiasa menari dalam ingatan,

Tenanglah kamu disana,
Damailah kamu dengan duniamu kini,
Amanlah kamu,
Dalam perjalanan menemui Penciptamu.

Aku sentiasa mengenangmu,
Aku sentiasa mendoakanmu,
Kerana kamulah......

Sahabat yang terbaik,
Teman yang sejati,
Yang pernah hadir dalam hidupku,
Yang pernah aku lepaskan.


Saturday 5 April 2014

Bas yang Internasionale

Wah, tajuk pun dah ala-ala filem, kot boleh jadi protege Mamat Khalid alangkah bertuahnya badan, kaki, tangan, semualah.

"Abang rasa....kita patut berkolaborasi buat filem barula, 
mungkin Zombie Kebun Pisang ke, atau Man Meggi ke, pun boleh, pun boleh....."

Gitu...kelas sungguh aku berangan nak jadi orang filem. Entah dari mana timbul angan-angan sebegitu aku pun musykil. Merepek meraban tak sudah-sudah.


"Ape yang kau merepek ni haaa....cut the crap will ya!"

Ha, Cik Meow ni sudah marah, siap speaking London lagi. Ok, ok. Aku tak merepek lagi.

Aku ni ulang alik pergi kerja naik bas. Bas RapidKL tu. 

Memang aku ni kira penumpang tetap sampai hampir semua abang drebar kat stesen bas tu kenal aku ni. Cuma belum sampai tahap nak mintak diskaun tambang je sebab aku ni regular customer. Eh, kejap, menarik juga idea tu. Akan ku cuba sampaikan niatku pada abang drebar tu. 

"Seringgit pun nak mintak diskaun???"

Haha, sori abang drebar, saya janji tak buat lagi. Marah pulak abang drebar ni.

Tiga hari lepas aku pergi kerja macam biasa, naik bas RapidKL ni kat Hentian Kajang tu. Penumpang tak ramai. Standard. Tengahari memang tak berapa ramai orang.

Dekat kerusi depan yang mengadap pintu keluar bas tu, duduk tiga orang awek Chinese look. Tapi bila dengar diorang bersembang, rupa-rupanya dari Indonesia. Tengok gaya pakaian macam loaded, mungkin datang sini jalan-jalan. Siap berselfie bagai dengan tab canggih. Kompem la datang melancong. Aku perhatikan aje gelagat diorang. Manja-manja gitewwww....awww....hahaha...

Tiba-tiba aku terdengar suara brader kat kerusi sebelah tu bercakap kat handphone beliau. Mula-mula dengar macam slang Sabahan, tapi bila diamati betul-betul, telingaku dapat menangkap bahasa yang digunakan bukan menunjukkan beliau dari Sabah, tapi dari Indonesia juga. Tapi golongan yang datang sini ya nyari rejeki, pak. Ha, dah berjangkit pulak kat aku, nilah padah asyik tengok Sinetron je.

Ok, aku cuba abaikan walaupun suaranya boleh tahan macam dia sorang je yang duduk dalam bas tu.

Dan aku terdengar pula suara seorang wanita, dari arah belakang. Sekali bunyi arab,da. Aku toleh ada sebuah keluarga bahagia di belakang, Orang Arab la ofkos, si isteri tengah memperkatakan sesuatu pada sang suami sambil diperhatikan oleh anak kecil mereka yang berada di tengah-tengah. Ha, bahagia kan.

Maka aku baru perasan, tak ada orang Malaysia pun dalam bas tu sebenarnya. Adalah seorang budak perempuan India, budak sekolah menengah aku kira berdasarkan t-shirt yang dia pakai. Duduk depan sekali dekat abang drebar tu. Itu sahaja. 

Ini membuatkan aku terfikir : 

Bas ni dah boleh tukar nama, bukan RapidKL dah, tapi RapidInternasionale. Menarik jugak nama ni, kan.....



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...