Aku masih ingat saat pertama yang membawa perkenalan kita,
Kau hulurkan salam perkenalan, dalam nakal mengusikku,
Nombor telefon bertukar tangan,
Maka bermulalah ikatan suci bernama persahabatan.
Masamu sentiasa lapang untukku,
Kata mereka kau ini pendiam,
Namun denganku petah sahaja bicaramu,
Kau riangkan hati yang sedih,
Kau relakan dirimu jadi sandaranku,
Saat aku rasa sepi, saat aku perlukan teman.
Bicaramu tak pernah yang buruk tentangku,
Lemah lembut tuturmu,
Tak pernah sekalipun yang kasar itu meluncur dari bibirmu,
Mahupun tingkahmu.
Jujurnya kamu,
Buat aku sangat menyayangi persahabatan kita.
Tingginya pekerti kamu,
Buat aku menghormatimu.
Tidak hanya kau bawa aku masuk ke dalam dirimu, hatimu,
Kau bawa aku masuk ke dalam duniamu,
Siapa kesayangan kamu, siapa keutamaan kamu,
Keluargamu,
Merekalah cinta hati kamu.
Dan memang ternyata
Kau tidak berpura-pura dihadapanku,
mempamerkan kebaikanmu,
kerana itu memang fitrahmu,
Kerana itu juga mereka juga menyanjungmu.
Namun,
Masa berlalu, kita terpisah,
Semakin lama, semakin jauh.
Walaupun jarak antara kita tidaklah sesaujana mata memandang,
Namun aku alpa.
Aku alpa dengan kamu,
Aku alpa dengan duniawi,
Aku leka dengan dugaan yang dihadirkan untuk aku,
menghanyutkan aku, jauh dari kamu.
Takdir menemukan kita semula,
Aku jauh berubah, bukan seperti dulu,
Tidak lagi si polos yang naif,
Yang sentiasa perlukan kamu.
Kau dan aku,
Terus membawa haluan masing-masing,
Keinginan bertemu,
Hanya dalam hati sahaja terpendam,
Tiada benar-benar diusahakan.
Aku tahu, kau senantiasa setia menantikan kehadiranku,
Walau engkau sendiri tak pasti,
Bila adanya waktu aku untuk kamu.
Akhirnya,
Takdir Allah benar-benar memisahkan kita,
Kau kini pergi selamanya.
Kita kini di dua alam yang berbeza.
Hajat bertemu hanya tinggal hajat,
Yang tak mungkin kesampaian,
Sesalanku,
Pun takkan mampu mengembalikanmu,
Hanya air mata meluncur laju,
Setiap saat aku terkenang kamu.
Saat ini aku benar-benar merasai,
Apa itu kehilangan,
Hanya pusaramu sahaja,
yang menanti kehadiranku.
Memori kita,
Takkan pernah terluput dari ingatan,
Wajahmu, senyummu,
Bicaramu dan tingkahmu,
Akan sentiasa menari dalam ingatan,
Tenanglah kamu disana,
Damailah kamu dengan duniamu kini,
Amanlah kamu,
Dalam perjalanan menemui Penciptamu.
Aku sentiasa mengenangmu,
Aku sentiasa mendoakanmu,
Kerana kamulah......
Sahabat yang terbaik,
Teman yang sejati,
Yang pernah hadir dalam hidupku,
Yang pernah aku lepaskan.
No comments:
Post a Comment