Amboi mukadimah dah macam pengkritik fesyen yang berpuluh tahun dalam bidang per'fesyen'an ni. Takpun dah macam penulis dalam majalah fesyen terkemuka, ayat tak nak kalah, ini kalau hantar pergi majalah 'Wanita' ada potensi jadi penulis tetap nih. Haha...angan-angan terlampau.
Alahai Ikhwani, cita-cita tinggi,
nak buat karangan Bahasa Melayu masa sekolah pun
sampai guling-guling cari idea.
Oklah, sebenarnya tiba-tiba aku teringat masa zaman kecik-kecik, aku dulu suka main 'fesyen-fesyen' dengan adik-adik aku memandangkan kami berempat heroin family yang mempunyai naluri kewanitaan dan 'diva wannabe' yang sangat menebal dalam diri hingga mengakibatkan baju-baju arwah mak menjadi mangsa.
Sebenarnya kami memang kagum dengan arwah mak sebab mempunyai koleksi pakaian yang sangat banyak, penuh satu almari. Mungkin kalau nak dibandingkan dengan sekarang umpama almari Rozita Che Wan yang penuh dengan pakaian yang glamer-glamer. Bila bukak aje almari tu, mata kami akan menyinar kegembiraan dan teruja untuk berlagak ala-ala Primadona Sarimah atau Allahyarhamah Saloma memperagakan pakaian pereka fesyen terkemuka sambil ber'catwalk' dalam rumah. Hal ini berlarutan dari umur aku sebelas tahun sampailah aku berumur 13 tahun.
Harap maklum ini adalah ilusi semata-mata sebab
pada masa tu aku belum pernah memegang
sebuah kamera dan aku pun tak pernah bagi idea untuk
abah aku tangkap gambar almari tu.
Dan setiap kali aku menyarungkan pakaian-pakaian arwah mak aku rasa dah macam ratu kebaya yang menang award dan tengah lambai peminat dari atas pentas sambil tersenyum simpul.
ok, pose ini agak melampau dan gamaknya
kalau betul-betul aku masuk pertandingan ratu kebaya
dan menang pun, aku mungkin akan dihambat
dengan penyapu gara-gara pose sebegini.
Masa tu, akulah paling berlagak sekali dengan adik-adik aku sebab bila aku pakai mana-mana baju dalam almari tu, sentiasa muat cantik je kat badan aku. maklumlah, arwah mak aku kecik molek je orangnya. Kalau Angah pakai, ada je londeh sana-sini, Noni dengan Alang lagilah, ibarat CatWoman yang tersilap pi pakai kostum Batman. Tinggallah si Batman terpinga-terpinga, dah takkan nak pakai baju CatWoman pulak nak gi kerja, nampak aurat, dosa.
Tapi adatlah, seiring dengan usia yang makin meningkat, dan juga keperluan tenaga yang makin bertambah, maka lama-kelamaan, aku perasan, setiap kali aku pakai baju-baju arwah mak, aku terasa seperti sebijik nangka yang dibalut suratkhabar, mula-mula suratkhabar tu elok je, tapi bila nangka tu makin masak, suratkhabar tu pun tak mampu menampung saiz nangka tu. Begitulah keadaanku. Tapi aku cuba bersikap positif dengan berfikiran bahawa perubahan itu hanyalah disebabkan pertambahan hormon di bahagian tertentu.
Perubahan diri yang sangat ketara sampai
gambar nangka dengan gambar aku pun dah terkopius..huhu
Akhirnya aku tak mampu mempertahankan kepercayaan positif ku dan jugak sekaligus meragut gelaran 'Ratu Kebaya' yang aku menangi dari adik-adikku. Kerana pada satu hari, aku cuba menyarungkan salah satu pakaian arwah mak yang memang jadi rebutan aku dengan Angah sebab antara banyak-banyak, baju tu yang paling cantik, macam baju Primadona Sarimah masa muda-muda dulu.
Saat aku menyarungkan baju itu pun dah terseksa pernafasan, tapi aku buat-buat cool depan Angah, tapi bila aku duduk aje, ada satu bunyi yang tak best.
ZRAPP.....
Dan jahitan di bahagian susunan kain yang ala-ala kebaya itu terbetas sedikit.
ALAMAK......
Dan ketika itu ku lihat senyuman terukir dibibir Angah tanda kemenangan. Disusuli dengan ketawa yang berdekah-dekah dan satu statement agak jujur yang akhirnya menyedarkan aku dari alam khayalan yang aku cipta tentang diriku.
"Along dah gemuk!!!!!"
Cis, kurang asam boi sungguh.
.
No comments:
Post a Comment