Thursday 28 June 2012

Aku dan KTM

Hari ni agenda aku pergi interview kat Sunway. Malam tadi plannye nak pergi pagi, sebab jauh nak kena travel dari Setapak ke Sunway. Tapi sedar-sedar je tengok jam dah pukul 9.30.

Pergh! terbaik. Ni sume salah Adam AF yang tak memasal datang dalam mimpi aku menyebabkan otak aku tak sampai hati nak suruh mata aku terbukak. Kenapa Adam AF yang datang? tak taula pulak aku. Padahal aku takdela minat sangat kat dia ni....

                                     ****************************************

Bila dah siap, aku gerak dari rumah aku naik Putra LRT sampai KL Sentral, kat situ ambik KTM Komuter ke Sunway. Settle interview, terus aku gerak balik. Dalam KTM ondaway ke KL Sentral tu, tetibe otak aku ter'flashback' masa zaman aku kecik-kecik. Pengalaman aku kali pertama naik KTM. Masa tu umur aku 7 tahun kot kalau tak silap.

Masa tu KTM takdelah secanggih macam sekarang ni. Time tu setau aku yang naif tu, kalau orang tu naik KTM, maknenye nak jalan jauh la tu. Sebab zaman tu kan KTM memang alternatif lain selain bas ekspres bagi orang yang nak travel jauh-jauh. Time tu pun KTM ada satu pattern je :



Sekarang ni, dah macam-macam design ada...






*********************************************

Okeh, mase tu kalau tak silap aku nak pergi Johor, ziarah sedara kat sana. Selalunya pergi naik kereta, tapi ntah ape angin family aku tetibe nak buat rombongan Mak Jah naik ketapi. Aku pulak seronokla dengar nak naik ketapi. First time kot. Pergi ramai-ramai, tapi yang aku tak puas hati tu, aku takde seat sendiri. Yela, masa tu, kanak-kanak umur 7 tahun ke bawah free, takde tiket, so, aku takde seat la. Jadi sepanjang-panjang perjalanan tu aku duk atas riba aje. Kejap riba orang ni, bila dah lenguh kang, tukar pulak riba orang lain. Begitulah aku sampailah ke Johor. Rase cam ketapi tu aku punye aje. Time tu aku kecik lagi, bile orang ramai tengok pun semua cam terhibur je dengan gelagat aku tu. Cuba kalau time umur camni aku kehulu kehilir camtu, mesti ada je yang akan sound, "Ko ni tak reti duk diam-diam ke?" takpun, "harap muka je cun, tapi sawan" (okeh, aku teka aje)

Bila terkenang-kenang time tu, aku tersengih sendiri. Tetibe aku terfikir, sebelum akak kat sebelah ni ingat aku ni tak betul, aku buat-buat kuarkan henset, buat-buat baca mesej. Cover line kena cemerlang...

"Stesen berikutnya, KL Sentral...KL Sentral...."

Suara pengumuman tu menandakan aku dah nak sampai. Chow dulu, nak balik tengok sinetron Putri yang ditukar...hehehe.....


Wednesday 20 June 2012

keluar malam


                                   
Kalau masa aku kecik-kecik dulu, mak ayah memang straight bab-bab waktu keberadaan anak kat luar ni. Dulu, aku, kalau sebelum nak keluar beriadah dengan kengkawan seangkatan, abah aku awal-awal dah bagi time limit dia, pukul 7 malam. Ertinya, kau pergila main sampai hujung taman sekalipun, nak main kejar-kejar sampai taman sebelah pun, at the end of the day, pukul 7 kau mesti dah ada dalam rumah. Kau lewat aje, haaa...rotan la makan dia. Time tu toksah mimpi la nak ngadu kat arwah mak, sebab nanti dia tolong tambah syarahan kat aku lagi ada.

Arwah mak aku siap menambah lagi, kata beliau, time senja ni, adalah time hantu setan keluar, keluar ke mana dan dari mana, tu aku tak tanya la sebab time aku tersangatla naif, cuma dengar dan angguk aje. Beliau kata lagi, kalau time senja-senja ni la bunian, jin, hantu suka kacau budak-budak macam aku, kadang dia sorok supaya takde sapa-sapa jumpa. Masa mula-mula diperhikayatkan dengan kisah tu, aku takut la jugak. Mana la tau tengah syok-syok main, kena sorok dek bunian kang, tak ke naya aku? macamane aku nak pegi sekolah nanti, kan...

Tapi itu time senja, bila malam, aku mengaji dengan sorang ustazah ni, rumah dia dekat je dengan rumah aku, tapi biasalah, budak-budak, tak kira lah, laki ke, perempuan je, sama je. Lepas ngaji, ada je aktiviti kitorang. Biasanya rutin kitorang main kejar-kejar depan rumah ustazah tu. Yelah, mak aku cakap hantu setan keluar time senja je, so bila malam mungkin diorang dah takde, kan. Itu tanggapan aku waktu tula. Punya leka, bila aku balik, abah aku dah standby depan pintu rumahla dengan muka serius macam polis buat road block tu. So lepas tu memang bernanah la telinga aku dengan kata-kata hikmah beliau. Cuma nasib baik sikit tak kena rotan. Jadi mak ngan abah aku tukar plan, dia suruh aku ngaji waktu siang ngan ustazah tu. Lepas balik sekolah. Sebab diorang tak nak anak perempuan kesayangan diorang ni berada di luar rumah malam-malam.

Tapi aku rasa tak effect pun plan diorang tu, sebab aku tetap macam biasa, lepas ngaji, pergi main. Lagi lama aku dapat main, sampai ke petang, baru nampak muka kat rumah. Tapi sebab siang abah aku takde, so selamat la sikit. Tapi keburukannya, sume homework aku terpaksa buat malam, sebab siang leka main. Kalau sikit tu, takpe, bila tiba datang angin cikgu aku sume subjek nak bagi homework, ha, masaklah aku nak menyiapkannya, dengan badan yang penat sebab main kejar-kejar, plus mata yang ngantuk aku siapkan jugak. Bila berlaku situasi tu, memang mak abah aku bergabung tenaga la menjatuhkan air muka aku sebagai kakak depan adik-adik aku. Time tu memang rasa cam nak lari rumah aje. Tapi aku tebalkan muka gak la, buat homework tu. Mak aku bila dah lewat sangat, dia memang tak tunggu, chow masuk tidur ngan adik aku yang no.4 tu, time tui dia sangat baby lagi. Maka abah aku la yang setia menemankan aku menyiapkan homework tu. Sampai tersengguk-sengguk dia menunggu aku. Time tu rasa bersalah pun ada, sebab susahkan abah aku kena tidur lewat,. Dah la pagi-pagi nak kena pegi kerja.

So, last sekali, abah aku membuat keputusan, berentikan aku ngaji ngan ustazah tu, so aku ngaji ngan dia je tiap-tiap malam lepas maghrib. Jadi lepas tu barula aku berdisiplin sikit. Balik sekolah, makan, buat homework dulu, baru keluar main,(tak siap homework = tak boleh keluar main)  lepas maghrib, mengaji, makan, tengok tv 1-2 cerita, pukul 10, tidur.

                                     ****************************************


Tapi bila dah besar panjang ni, aku faham kenapa mak abah aku sangat tak suka bila anak-anak ada kat luar waktu malam. Bila dah terbiasa keluar malam tanpa pengawasan mak ayah, lama-lama anak-anak terbiasa, lepas mula lah timbul masalah rempit, bohsia, dadah, kan...sebab sekarang ni, ada mak ayah yang tak ambil tau pun malam-malam anak dia buat apa kat luar. So aku syukur sangat sebab mak abah aku menetapkan peraturan itu pada aku. Alhamdulillah aku selamat dari gejala tu semua. Mungkin mak ayah zaman sekarang kena praktikkan apa yang mak ayah zaman dulu buat pada anak-anak mereka. Kalau ia membawa kebaikan pada anak-anak, itu bukan kolot, tapi still relevan, ok...



Monday 18 June 2012

Kerja aku

Okeh, sudah cukup dengan entri jiwang-jiwang ni, aku pun dah tak tau nak karang apa lagi yang jiwang. Jadi kembali ke tahap normal, dan entri yang biasa-biasa aje.

Masuk hari ni, dah hampir 4 tahun aku berkecimpung dalam sektor kerajaan ni. Atau lebih spesifik lagi, di Mahkamah. Yea, aku kerja mahkamah. Tapi aku bagitau awal-awal, aku bukan peguam, okeh. sebab biasa dah, sejak aku mula-mula kerja, sampai sekarang, bila orang tanya aku kerja kat mana, aku akan jawabla aku kerja kat mahkamah, dan mereka akan bertanya balik : "Peguam ke?" Semua orang pun sama. Apa yang perlu korang faham di sini, peguam tak kerja di mahkamah, orite? peguam cuma bawak kes di mahkamah. Kenapa korang tak tanya macam ni, "eh, awak majistret ke?" tak pun, awak cleaner ke kat sana?" Satu kerja pulak aku nak kena explain pada mereka-mereka tentang kerja aku.

Oklah, aku explain la siap-siap kat sini. Tugas aku kat mahkamah ni sebagai JURUBAHASA. Tugas jurubahasa ni macam penterjemah la. Mungkin ada yang akan tanya, "perlu ke?" Jangan tak tau, walaupun mahkamah-mahkamah kat Malaysia ni bersidang menggunakan Bahasa Melayu, tapi bukan orang melayu je yang buat jenayah kat Malaysia ni. Kan Malaysia ni sekarang dah ada berbilang kaum, sampai dah tak larat nak bilang dah. Ada Cina, India, Myanmar, Bangla, Negro....banyaklah sangat kalau aku nak nyatakan, tak cukup satu entri ni.

So kat sini la aku dan kawan-kawan aku memainkan peranan. Macam aku, takat mat-mat negro tu aku handle la, kan diorang tak paham bahasa melayu dan tak pandai nak cakap melayu. So apa diorang cakap aku explain kan pada court, dan apa hakim aku cakap, aku explain balik kat dia. Kira kena speaking abis la....hahahaha.....Kalau macam bangsa-bangsa lain tu, ada jugak jurubahasanya. Supaya persidangan mahkamah akan berjalan lancar. Kira kalau takde aku macam tak complete la court tu...penting jugakla aku ni, kan...(ceewaaahhh, bajet..)

Selain dari tu, kan kalau korang tengok tibi, cerita-cerita yang ada kisah jenayah, kan bila  bicara tu ada barang-barang bukti yang dikemukakan kan? ha...kat sini kitorang panggil eksibit @ barang kes. Barang2 tu semua aku la kena jaga, kena tandakan, kena simpan. Kalau hilang ke, rosak ke, puas la nak menjawabnya.

Pastu kalau korang tengok lagi tibi citer-citer yang ada paparkan kes bicara dalam mahkamah tu, perasan tak, kat bawah hakim tu, ada macam staff yang duduk ngadap mesin taip tu??? haaaa...itulah jurubahasa. Tapi bab mesin taip tu takdelah, tipu je tu. Zaman dah canggih maa....mana ada pakai mesin taip semua, kalau ada, aku pun jakun...skang kitorang pakai recording system, siap ngan cctv, video link bagai. So, takde dah taip-taip ni. Semua record je. lagi senang, kan...

So itulah serba sedikit tugas aku sebagai seorang JURUBAHASA MAHKAMAH. So lepas ni, kalau ada orang tanya korang pasal kerja ni, korang pun bolehla jawab dengan jayanya, kan, kan....dah bertambah lagi satu ilmu pengetahuan korang...kan....



ini tempat kerja aku, abaikan keadaan yang berselerak tu, pekerja cemerlang memang gini...hehehe


Thursday 14 June 2012

cinta satu hala #10

Sejak pulang dari Gunung Tahan, Muaz belum bertemu dengan Nurin. Ini kerana dia terlalu sibuk dengan kuliahnya, dan aktivit kolejnya. Nurin pula sentiasa ternanti-nanti bila mereka dapat bertemu. Hanya sesekali sms dan panggilan yang menghubungkan mereka. Nurin merasakan yang dia makin luput di hati Muaz. Hanya kenangan mereka bersama jadi ingatan. Namun mungkin Muaz sudah melupakannya.

Hatinya meronta-ronta untuk memberitahu Muaz betapa dia merindui Muaz, dan saat-saat mereka bersama. Namun semua itu mustahil, kerana tak mungkin Muaz menerimanya. Dan mana mungkin Muaz faham debar hatinya. Maka Nurin pendamkan sahaja. Dia tidak mahu meluahkan isi hatinya pada Muaz kerana dia tidak mahu merosakkan perhubungan mereka. Tapi dia amat yakin, dari gaya Muaz, tidak mungkin Muaz punya rasa yang sama seperti hatinya. Walau apapun yang telah Nurin lakukan, belum mampu membuatnya istimewa di hati Muaz.

Maka dia membuat keputusan untuk mengalah. Lupakan Muaz. itu yang terbaik. Mungkin memang dia hanya sesuai untuk jadi seorang kakak pada Muaz. Bukan lebih dari itu. Namun itu semua amat sukar. Bukan tidak ada insan lain yang cuba untuk menawan hatinya, namun dia tidak mampu berkata ya untuk mereka.

Hafiz misalnya. Mereka sudah beberapa bulan berkawan, malah Nurin sempat meraikan harijadi Hafiz dengan cara yang cukup menyentuh hati Hafiz. mereka pernah meluangkan masa bersama, dan Hafiz juga ada mengungkap rasa hatinya pada Nurin. Namun hati Nurin berbelah bagi. Hafiz baik orangnya, tapi dia tidak mampu memandang Hafiz seperti memandang Muaz. Walaupun mereka meluangkan masa bersama, namun hatinya sentiasa membayangkan Muaz. Kadangkala Nurin merasa bersalah kerana seolah-olah mempermainkan perasaan Hafiz dan memberikannya harapan, tetapi dia tidak mampu untuk berterus terang. Memang tujuannya rapat dengan Hafiz untuk melupakan Muaz, namun dia tidak berjaya. Maka jalan terbaik untuk tidak terus membuatkan Hafiz hanyut dengan perasaannya, dia mengurangkan masanya dengan Hafiz.

Dan hingga kini rasa hatinya pada Muaz tetap sama. Dan Muaz juga masih seperti itu, tidak menyedari rasa kasih Nurin padanya. Nurin hanya memendam perasaan. Tidak juga mahu berterus terang dengan Muaz. Memang ia menyeksakan, namun Nurin tidak peduli. Baginya, rasa cinta itu tidak boleh dipaksa. dan dia hanya mahu melihat orang yang disayanginya bahagia, dan sekiranya bahagia Muaz bukan dengannya, tapi dengan insan lain, dia rela. Asalkan Muaz gembira....

Dan not RM10 pemberian Muaz masih ada dalam simpanan Nurin......




Wednesday 13 June 2012

tidak fahami #9

Sejak peristiwa itu Muaz sudah jarang berhubung dengan Zulaika. Zulaika mengalah, menurut kata Nurin, melepaskan Muaz. Muaz pula berkelakuan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Nurin juga sama. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati Nurin dia agak gembira Muaz dan Zulaika tidak bersatu. Tapi itu tidak bermakna dia akan terus mendekati Muaz untuk memenangi hatinya. Dia hanya mahu menjadi seseorang yang Muaz akan sentiasa cari, tak kira susah atau senang. Dia mahu menjadi orang yang dapat menceriakan hati Muaz.

Sayangnya Muaz tidak melihatnya begitu. Mungkin Muaz tidak memahaminya seperti dia memahami Muaz. Muaz sering tetsalah tafsir dirinya. Apa yang dilakukan untuk Muaz tidak memberi kesan di hati Muaz, kadangkala dianggap sekadar menyibuk. Nurin kadangkala rasa geram dengan Muaz kerana sering salah tafsir tentang dirinya. Kadangkala dia pelik dengan sikap Muaz, katanya dia sangat memahami Nurin, dan tahu isi hati dan apa yang difikirkan, namun dia sering tersalah tafsir apa yang keluar dari mulut Nurin, dan tindak tanduk Nurin. Tetapi Nurin selalunya mengalah sahaja dengan Muaz. Dia tidak mahu bertikam lidah dengan Muaz.

Masa berlalu, cuti Muaz hampir tamat. Dan seminggu sebelum Muaz memulakan kuliah, dia terlibat dengan ekspidisi mendaki Gunung Tahan anjuran Kelab Kembara Uniten. Malam terakhir sebelum Muaz bertolak, dia, Nurin, dan beberapa orang rakan mereka berkumpul di kedai makan tempat mereka selalu menghabiskan masa bersama. Nurin ingin sekali meluangkan masa selama mungkin dengan Muaz malam itu, namun, Muaz menerima panggilan daripada rakannya, yang memerlukan bantuannya. Oleh kerana hari sudah lewat, dan dia tidak dapat menghantar Nurin pulang seperti biasa, dia meminta salah seorang rakannya menhantar Nurin, dan menghulurkan not RM10 kepada Nurin, untuk duit minyak, katanya. Mulanya Nurin enggan menerimanya, namun setelah didesak, Nurin ambil juga. Nurin rasa berat hati untuk melepaskan Muaz pergi. Ada air mata bergenang. Namun dia tahankan supaya tidak menitis.

Petang esok, Nurin menghabiskan masanya merayau-rayau di kawasan sekitar rumahnya, dan kepalanya tidak henti-henti membayangkan Muaz. Tiba-tiba dia menerima panggilan dari Muaz.

"Kak, saya dalam bas ni, on the way ke Merapoh, akak tolong saya boleh?"

"tolong apa?"

"Tolong beli top up, boleh? urgent sangat ni.."

"Ok."

Maka Nurin bergegas mencari top up untuk Muaz. Mujur ada kedai Hotlink berdekatan.  Setelah 5 minit, dia menghubungi Muaz.

"Ha, dah dapat top up?"

"Dah, dah...thanks kak..akak kat mane ni?"

"Akak kat wangsa maju ni...jalan-jalan je.."

"Oh, yeke...dengan sape?"

"Sorang je.."

"Ooo...ok, ok..kak, thanks tau, thanks sangat.."

"Ok, dik.."

Nurin tersenyum memikirkan Muaz. Dia sanggup melakukan apa pun demi Muaz. Sungguh. Hanya Muaz yang tak mampu melihatnya.

Seminggu Muaz berada di Gunung Tahan. Seminggu juga Nurin sentiasa memikirkan, apa yang sedang dilakukan Muaz, bila Muaz akan pulang. Satu malam, Nurin menonton wayang dengan dua rakannya. Kisah romantis. Tiba-tiba ada panggilan dari Muaz. Nurin terkejut dan terus berlari keluar dari panggung, untuk menjawab panggilan Muaz. Muaz mengatakan dia baru turun dari Gunung Tahan dan malam itu, mereka akan bermalam di Taman Negara Rompin. Esoknya baru akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

Nurin begitu gembira dengan panggilan Muaz. Maka dia tidak lagi dapat menumpukan perhatiannya pada filem yang sedang ditonton. Rakannya pelik dengan gelagat Nurin. Dia tidak sabar menunggu kepulangan Muaz.

Monday 4 June 2012

kau dan adikku?? #8

Setelah Muaz pulang dari Phuket, Nurin belum berpeluang bertemu dengannya lagi, kerana kesibukan kerja. Kebetulan pula Zulaika pula datang bercuti lagi di rumahnya.

Muaz keluar dengan Zulaika berdua tanpa Nurin. Mulanya dia tidak kisah. Tapi nampaknya Zulaika telah mencuri perhatian Muaz dari Nurin. Nampaknya rancangannya berjaya, untuk cuba memasangkan Zulaika dan Muaz, tetapi melihat mereka berdua, hatinya menjadi sakit tiba-tiba. Dan dia tidak suka situasi ini. Dia tidak suka bila merasakan Muaz semakin jauh darinya. Sepatutnya Nurin sudah menjangkakan perkara ini awal-awal lagi.

Tapi dia cuba abaikan perasaan itu. Mungkin kerana selama ini dia sudah terbiasa rapat dengan Muaz, jadi mungkin perasaan itu sementara sahaja. Tetapi apabila satu malam, Muaz mengungkapkan kepada Nurin :

"Sebenarnya saya dah mula terpikat dengan dia.."

Perasaan Nurin berubah. Ada semacam perasaan tidak gembira dalam hatinya. Kenapa? dia tidak tahu, tapi dia memang tidak sukakan apa yang keluar dari mulut Muaz. Tapi dia berpura-pura senang di hadapan Muaz. Tapi kata Muaz dia perlukan masa untuk betul-betul mengenali Zulaika.

Mahu tak mahu, Nurin biarkan sahaja. Tak mungkin dia ingin jadi batu penghalang, kerana Zulaika juga sudah mula sukakan Muaz.

 Nampaknya hubungan Muaz dengan Zulaika semakin baik. Mereka makin mesra, namun Nurin makin memendam rasa. Cemburu yang meluap bila melihat Zuaikal bersemangat menceritakan hal Muaz. Namun  untuknya merosakkan kebahagiaan dan kegembiraan adiknya tidak mungkin sama sekali. Tambahan pula, dia yang bertanggungjawab mempertemukan mereka berdua.

Namun satu hari Muaz menyatakan yang dia tidak mampu untuk terus bersama Zulaika. Nurin terkejut, kerana sangkanya Muaz benar-benar sukakan Zulaika. Namun Muaz cuma mengatakan, memang dia sukakan Zulaika, dan dia gadis yang baik, tetapi ada sesuatu pada dirinya yang tidak dapat diterima oleh Muaz.

Nurin tidak mahu bertanya lanjut, kerana kata Muaz, dia sendiri yang akan menjelaskan kedudukan sebenar kepada Zulaika.  Nurin bimbang Zulaika terluka. Dan benar telahannya, Zulaika terluka dengan Muaz. Kerana dia sangat sukakan Muaz. Tetapi keputusan Muaz memang tidak boleh diubah lagi.

Maka Zulaika pulang ke Tanjung Malim dengan kekecewaan. Dia cuba lagi untuk menawan Muaz, tetapi Nurin menegahnya, bukan kerana dia juga sukakan Muaz, tetapi dia tidak suka melihat adiknya memperbodohkan diri sendiri demi seorang lelaki.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...